Temerloh Boat Festival 2026

Peraturan Perlumbaan

1 · Penyertaan & Pendaftaran

  • 1.1 — Pertandingan terbuka kepada semua.
  • 1.2 — Pendaftaran dibuat secara online melalui borang pendaftaran dan dianggap sah setelah yuran dijelaskan dan disahkan oleh urus setia.
  • 1.3 — Yuran penyertaan: RM100 bagi semua kategori (Nelayan Standard, Nelayan Open, Nelayan 30HP, Topper dan NT Class). Yuran tidak akan dikembalikan. Tambahan RM10 dikenakan bagi setiap pelumba untuk insurans perlindungan.
  • 1.4 — Setiap bot dan pelumba mesti melepasi pemeriksaan teknikal sebelum dibenarkan berlumba.
  • 1.5 — Taklimat pelumba (wajib hadir): Jumaat, 23 Oktober 2026, jam 9.00 malam di perkarangan bawah Restoran Saiful Patin Gulai Masam, Dataran Perlancongan Temerloh. Taklimat merangkumi ucapan keselamatan daripada Bomba & Penyelamat dan taklimat daripada Setiausaha kelab.

2 · Peraturan Teknikal Mengikut Kategori

KategoriEnjinKipas / PropelerLain-lain
Nelayan Standard 18HP ke bawah — semua jenis enjin Kipas alloy sahaja —
Nelayan Open 18HP ke bawah Kipas Open —
Nelayan 30HP Open Sehingga 30HP Kipas Open —
Bot Topper 15/18HP Kipas Open —
NT Class 40–60HP Open. Enjin 60J tidak dibenarkan Kipas Open —

Bot yang gagal pemeriksaan teknikal atau didapati melanggar spesifikasi kelas boleh dibatalkan penyertaannya tanpa pengembalian yuran.

3 · Pemeriksaan Bot (Scrutineering)

  • 3.1 — Setiap bot akan diperiksa oleh dua (2) AJK keselamatan sebelum dibenarkan turun ke litar bagi memastikan ia mematuhi peraturan.
  • 3.2 — Tali pengikat keselamatan bot mestilah kukuh.
  • 3.3 — Suis keselamatan (kill switch) mesti berfungsi dengan baik (on/off) dan tali suis tidak reput.
  • 3.4 — Enjin mesti dipasang kemas dan diikat dengan skru pada bot.
  • 3.5 — Kipas mesti dipasang kemas dengan skru / lock pin yang lengkap.
  • 3.6 — Pemecut (throttle) mestilah jenis paddle atau kabel mengikut spesifikasi. Tali jaring tidak dibenarkan.
  • 3.7 — Kategori Topper dan NT Class wajib memasang pelampung keselamatan pada bot.
  • 3.8 — Pelumba mesti memakai kasut yang bersesuaian.

4 · Perlepasan (Start)

  • 4.1 — Perlepasan dihadkan kepada 3 kali sahaja bagi setiap perlumbaan.
  • 4.2 — Butiran penuh prosedur perlepasan (termasuk tindakan pada perlepasan kali ke-3) akan dimaklumkan semasa taklimat pelumba.
  • 4.3 — Pelumba yang gagal hadir semasa gilirannya dianggap tarik diri.

5 · Peraturan Semasa Perlumbaan & Penalti

  • 5.1 — Perlumbaan berbentuk pusingan menggunakan litar jenis pelampung (boya). Garisan penamat terletak di tengah antara pelampung A dan B (Esplanade 1) dan diperhatikan oleh pengadil yang dilantik.
  • 5.2 — Garisan mula dalam keadaan berhenti di ponton. Setiap bot dibantu oleh dua (2) orang kru.
  • 5.3 — Sebuah bot hanya dibenarkan seorang pelumba sahaja.
  • 5.4 — Pelumba boleh digantikan oleh pelumba lain sekiranya berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan, dengan syarat pelumba ganti telah didaftarkan dengan penganjur untuk tujuan insurans.
  • 5.5 — Pelumba mesti bersedia awal. Semasa satu kategori sedang berlumba, kategori seterusnya mesti sudah berada di kawasan starting bersama kru untuk menyusun dan memegang bot. Kehadiran dan ketepatan masa amat penting.
  • 5.6 — Pelumba diberi masa lima (5) minit untuk menyelesaikan masalah bot sebelum perlumbaan yang bakal dipertandingkan, bagi melancarkan masa penganjuran.
  • 5.7 — Pelumba tidak dibenarkan mencuba litar semasa bot-bot berada dalam keadaan starting.
  • 5.8 — Pelumba tidak dibenarkan menghimpit pelumba lain.
  • 5.9 — Pelumba yang terbabas semasa selekoh berhampiran boya, atau termasuk di sebelah dalam boya, hendaklah berpusing semula dan mengikut laluan litar yang sebenar.
  • 5.10 — Melanggar boya/pelampung: dikenakan denda dan ganti rugi.
  • 5.11 — Gagal mematuhi arahan pelepas (starter): dikenakan penalti atau disingkirkan.
  • 5.12 — Peserta yang gagal mematuhi undang-undang pertandingan akan dikeluarkan daripada perlumbaan.

6 · Keselamatan

  • 6.1 — Jaket keselamatan wajib dipakai sepanjang berada di atas air. Helmet diwajibkan bagi kelas berkelajuan tinggi (akan diperincikan semasa taklimat).
  • 6.2 — Pasukan keselamatan, perubatan, JPAM dan BOMBA akan bertugas sepanjang event.
  • 6.3 — Pelumba mesti mematuhi semua arahan Race Director, Race Committee, Marshal, pegawai keselamatan dan urus setia.
  • 6.4 — Urus setia berhak menangguh atau membatalkan mana-mana perlumbaan atas faktor cuaca, arus atau keselamatan.

7 · Isyarat Bendera

  • Bendera Hijau — Perlumbaan diluluskan oleh pengadil dan petugas — perlumbaan bermula / diteruskan.
  • Bendera Kuning — Berlaku kemalangan atau insiden. Perlahankan bot bagi memberi ruang kepada petugas menjalankan kerja keselamatan. Tidak dibenarkan memotong bot yang berada di hadapan.
  • Bendera Merah — Perlumbaan dihentikan — kemalangan berat, perlepasan gagal, cuaca tidak mengizinkan, atau perlumbaan telah tamat. Semua bot wajib kembali ke pit stop dan mengosongkan litar.
  • Bendera Biru — Bot yang berada di kedudukan belakang wajib memberi laluan kepada bot di kedudukan hadapan (bot no. 1, 2, 3 dan seterusnya).

8 · Tanggungan & Akuan

  • 8.1 — Setiap peserta mengesahkan bahawa maklumat pendaftaran yang diberikan adalah benar dan memahami risiko perlumbaan termasuk kemalangan, kecederaan, kerosakan atau kehilangan bot/peralatan.
  • 8.2 — Peserta bertanggungjawab terhadap kecuaian atau pelanggaran peraturan oleh diri sendiri, dan bersetuju menanggung rugi Penganjur dan pegawai yang berkaitan terhadap tuntutan yang berpunca daripada tindakan atau kecuaian peserta, setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
  • 8.3 — Setiap peserta mesti melengkapkan akuan peserta (dalam borang pendaftaran) dan menyediakan maklumat waris/kecemasan.
  • 8.4 — Perlumbaan boleh dihentikan, ditangguhkan, diubah atau dibatalkan oleh Race Director atau Race Committee atas faktor keselamatan.
  • 8.5 — Keputusan Race Director, Race Committee dan pengadil adalah muktamad. Sebarang bantahan mesti dibuat mengikut saluran yang ditetapkan semasa taklimat.
Ada soalan tentang kelayakan bot atau spesifikasi kelas? Hubungi Biro Teknikal melalui urus setia: 019-978 9005 (Bidin)